Monday, 17 October 2011

LAPORAN PROGRAM MOTIVASI DAN PENINGKATAN KEMAHIRAN BELAJAR UNTUK PELAJAR PMR DAN SPM SEKOLAH MENENGAH DAERAH BARAT DAYA, PULAU PINANG 27 MAC 2010

 Pengenalan

Syukur alhamdullilah dengan izin dan limpah kurnianya maka Program Motivasi dan Peningkatan Kemahiran Belajar Untuk Pelajar PMR dan SPM Sekolah Menengah Daerah Barat Daya telah selamat dijalankan. Program bermula pada 8:00 pagi hingga 5:00 petang yang disertai oleh 11 buah sekolah iaitu 39 orang pelajar PMR  dan 49 orang pelajar SPM. Keseluruhan pelajar yang menyertai program ini ilah seramai 88 orang selain 16 orang guru kaunseling turut membantu sebagai fasilitator LDK. Tujuan program motivasi dan peningkatan belajar ini dijalankan untuk memberi kesedaran di samping meningkatkan motivasi kepada pelajar Tingkatan 3 dan 5 supaya bersedia lebih awal untuk menghadapi peperiksaan PMR dan SPM. Program ini juga memperkenalkan kaedah dan meningkatan daya ingatan yang lebih berkesan kepada para pelajar.

            Persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan utama seperti PMR dan SPM adalah penting bagi setiap pelajar agar mereka dapat bersedia dalam melengkapkan diri baik dari segi emosi, fizikal dan juga mental. Selain dari itu, kepelbagaian kaedah dalam pembelajaran juga perlu bagi pelajar sesuai dengan ungkapan ‘Study Smart not Study Hard’. Justeru, program ini dirancang dengan tujuan membantu pelajar untuk mencapai cita-cita mereka ke arah kejayaan yang cemerlang.


Modus Operandi

Seramai 88 orang pelajar iaitu 39 orang pelajar PMR dan 49 orang pelajar SPM yang telah mengikuti program ini.  Mereka adalah daripada beratus pelajar Tingkatan 3 dan 5 yang amat berminat untuk mengikuti program ini.  Mereka telah disenarai pendekkan dengan mengambil kira aspek-aspek tertentu terutama daripada kecemerlangan akademik.

Mereka ini dibantu oleh fasilitator di kalangan Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa (GBKSM) Sekolah Menengah Daerah Barat Daya. Bersama-sama ini disertakan laporan kronologi penjalanan program yang telah dijalankan.



Kronologi PROGRAM MOTIVASI DAN PENINGKATAN KEMAHIRAN BELAJAR UNTUK PELAJAR PMR DAN SPM
27 Mac 2010
8:00 pagi – 5:00 petang

 

1. Ceramah Motivasi (9:00 pagi  – 10:00 pagi)


            Semua peserta kursus berkumpul tepat pukul 9.00 pagi di Dewan Kuliah Al-Khawarizmi, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) selepas pendaftaran. Satu Majlis Perasmian telah dijalankan. Selepas ini, Ceramah Motivasi telah dijalankan.  Penceramah adalah En. Hairul Anwar selaku Pegawai Kaunseling KKTM.  Beliau telah memperkenalkan KKTM kepada para peserta. Antaranya termasuklah visi dan misi KKTM, komponen pengajian, kaedah pengajian dan pensijilan KKTM, syarat-syarat kelayakan kemasukan ke KKTM, kursus-kursus yang ditawarkan, kegiatan kokurikulum, persekitaran KKTM dan sebagainya. Peserta-peserta lebih mengenali KKTM selepas ceramah ini. 



2. Ceramah Teknik Belajar  (10:30 pagi  – 11:30 pagi)

            Teknik Belajar dan Teori Kemahiran Belajar telah disampaikan oleh En. Mohd Zamri bin Mohd Noh, SMV Balik Pulau. Peserta kursus telah didedahkan dengan kemahiran-kemahiran belajar yang lebih berkesan. Antaranya termasuklah kemahiran membaca, kemahiran mencatat nota, kemahiran mengingat, kemahiran mendengar dan kemahiran mengurus masa.  Beliau juga memperkenalkan Teknik Belajar yang berkesan
seperti peta minda dan kaedah neumorik dalam bentuk perkataan ataupun dalam bentuk ayat.  Beliau telah memperkenalkan Resepi Kejayaan sebagai penutup.  Resipi Kejayaan termasuklah tanggungjawab, daya usaha, kesabaran, keimanan, keinsafan, pengorbanan, akhlak mulia dan senyuman.



3. Bengkel  (11:30 pagi  – 1:00 petang)

Bengkel Kemahiran Teknik Belajar telah berjalan dengan aktif dan berkesan di mana kelihatan peserta kursus telah mengikuti sesi ini dengan bersemangat sekali. Peserta kursus telah dibahagikan kepada 14 kumpulan kecil untuk menjalankan latihan dalam kumpulan (LDK).  Setiap kumpulan diketuai oleh seorang fasilitator.  Peserta kursus juga telah diuji untuk teknik kemahiran belajar yang disampaikan oleh En. Mohd Zamri. Kemudian peserta diminta membentangkan hasil perbincangan mereka dalam kumpulan.  Peserta kursus telah dapat melihat berbagai kaedah untuk mengingat dan mereka mencari satu kaedah yang paling mudah dan berkesan untuk mereka mengingat fakta yang penting.

4. Ceramah Motivasi (3:00 petang  – 4:30 petang)

Ceramah Motivasi telah disampaikan oleh En. Zaili bin Idris selaku Ketua Unit Psikologi dan Kaunseling di Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang. Cara penyampaian oleh En. Zaili sangat menarik.  Beliau telah menggunakan lagu dan video clip yang berunsur motivasi untuk memotivasikan peserta-peserta kursus.  Peserta kursus telah ditarik oleh penyampaian beliau.  Ceramah ini amat mencapai objektif program iaitu memberi kesedaran di samping meningkatkan motivasi kepada pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima supaya bersedia lebih awal untuk menghadapi peperiksaan PMR dan SPM. Di samping itu, ceramah ini juga membantu dan memastikan pelajar dapat menyediakan diri dari segi emosi, fizikal dan juga mental dalam menghadapi peperiksaan dengan lebih awal.



5. Penutup  (4:30 – 5:00 petang)

Peserta telah didedahkan dengan aktiviti yang telah menunjukkan kepada mereka bahawa sifat bawah sedar mereka menjadikan mereka itu leka dan tidak serius dengan pelajaran mereka.  Melalui aktiviti ini mereka telah diransang supaya mereka dapat menjumpai diri mereka yang sebenar dan menginsafi bahawa tanggungjawab mereka adalah besar bagi mereka mahkotakan impian mereka seterusnya ibu-bapa, guru dan bangsa serta agama mereka.







Study Smart not Study Hard


LAMPIRAN GAMBAR