Tuesday 18 October 2011

Laporan Kem Ibadah 2011

1.       Taklimat dan Suai Kenal
Program Kem Ibadah 2011 telah dimulakan dengan rasminya pada 19 Februari 2011 bermula dengan Solat Maghrib secara berjemaah. Selesai saja Solat Maghrib, majlis dimulakan dengan ucapan alu-alaun daripada Guru Kaunseling SMVBP, En. Mohd Zamri bin Mohd Noh. Dalam ucapan ini, Cikgu Zamri menjelaskan kepada pelajar tentang objektif utama program ini diadakan dan mengharapkan semua pelajar dapat mengikuti program ini dengan jayanya. Cikgu Zamri juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Pelajar Pusat Islam (JPPI), Politeknik Seberang Perai atas kesudian untuk mengelolakan program ini. Selesai ucapan daripada Cikgu Zamri, majlis diserahkan kepada Sdr. Ahmad Hafiz bin Mohd, Pengarah Program Kem Ibadah 2011 untuk menyampaikan taklimat program dan menggerakkan program. Hafiz memulakan ucapan dengan menjemput semua fasilitator JPPI PSP untuk diperkenalkan kepada semua peserta program. Selesai sesi berkenalan, Hafiz membahagikan peserta kepada 30 kumpulan LDK untuk memudahkan aktiviti perbengkelan. Mengakhiri slot yang pertama ini, Hafiz menerangkan kepada semua peserta mengenai asas-asas fardhu ain dengan menfokuskan perbincangan awal ini mengenai taharrah (bersuci).

2.       Tayammum
Slot kedua yang dijalani oleh semua peserta ialah mengenai bertayammum. Slot dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai tayammum yang merangkumi sebab, syarat dan rukun tayammum. Seterusnya peserta sekali lagi dipecahkan kepada kumpulan LDK untuk penerangan dan perbincangan secara terperinci. Fasilitator setiap kumpulan akan menerangkan sekali lagi mengenai perihal tayammum dan merungkai sebarang persoalan daripada peserta. Setelah semua ahli kumpulan memahami secara mendalam mengenai tayammum, setiap ahli kumpulan diminta untuk melakukan tayammum di bawah pemantauan fasilitator kumpulan masing-masing untuk menzahirkan kefahaman.

3.       Wuduk
Praktikal wuduk dijalankan dalam slot kedua. Sebelum dimulakan dengan praktikal, penerangan secara teori dulu dibuat. Dalam penerangan ini, peserta diterangkan antara rukun dan sunat semasa wuduk. Peserta dijelaskan mengenai 6 rukun dalam berwuduk dan perkara-perkara sunat semasa wuduk. Turut disentuh ialah perkara-perkara yang boleh membatalkan wuduk. Selesai penerangan, semua ahli LDK diminta untuk mengambil wuduk dengan diperhatikan secara langsung oleh fasilitator.

4.       Azan dan Iqamah
Praktikal azan dan iqamah dijalankan kepada semua peserta selesai dan faham mengenai taharrah, tayammum dan wuduk. Latihan ini dilakukan pada sebelah petang hari kedua selepas peserta dan fasilitator selesai mengerjakan Solat Zohor secara berjemaah. Memulakan aktiviti LDK ini, Sdr. Ahmad Hafiz telah menerangkan sedikit sirah atau sejarah bermulanya azan ini di zaman Rasulullah. Hafiz juga menerangkan pelaksanaan azan yang dibuat di zaman Rasulullah khususnya oleh dua orang sahabat yang utama iaitu Bilal bin Rabah dan Abdullah Ibnu Ma’tum. Selesai taklimat, peserta dipecahkan kepada kumpulan LDK masing-masing. Semasa dalam kumpulan LDK ini, setiap ahli akan mengumandangkan azan dan iqamah. Fasilitator kumpulan juga menerangkan maksud setiap kalimah yang dilaungkan.

5.       Latihan Dalam Kumpulan (LDK)
Latihan Dalam Kumpulan (LDK) merupakan aktiviti utama yang dijalankan sepanjang program Kem Ibadah ini berlangsung. LDK dijalankan dalam kumpulan pelajar yang lebih kecil bagi membolehkan fasilitator dapat memberikan fokus kepada setiap peserta program dan seterusnya memberikan satu kefahaman yang terperinci kepada semua peserta. Diharapkan dengan pendekatan yang dilakukan ini memberikan banyak manfaat kepada semua peserta dalam memahami dengan yakin setiap abadah yang dilakukan sehari-harian.

6.       Explorace
Explorace telah dijalankan pada slot riadah petang hari kedua. Dalam aktiviti explorace ini, fasilitator cuba menterjemahkan kefahaman peserta secara praktikal amalan hasil daripada slot-slot awal yang telah difahami. 10 checkpoint telah disediakan dan diketuai oleh 2 orang fasilitator. Pada setiap checkpoint, fasilitator akan memberikan arahan untuk dilaksanakan oleh setiap kumpulan. Penekanan utama yang ingin dijelaskan kepada semua peserta ialah ialah ‘Islam itu Mudah’. Fasilitator juga akan menanyakan beberapa soalan untuk menguji kefahaman dan ingatan peserta daripada slot-slot awal yang telah dipelajari. Diakhir aktiviti setiap checkpoint, fasilitator akan membuat beberapa rumusan dan kesimpulan daripada aktiviti yang telah dijalankan.

7.       Tazkirah
Tazkirah merupakan aktiviti selingan yang dijalankan mengisi antara slot-slot utama. Selain itu, tazkirah merupakan aktiviti wajib selepas Solat Maghrib dan Subuh. Tazkirah ini akan disampaikan oleh fasilitator-fasilitator JPPI PSP. Dalam tazkirah yang disampaikan ini, fasilitator lebih banyak menyentuh mengenai hal ehwal agama Islam antaranya:
a)      Memahami Islam, Iman dan Ihsan
b)      Adab-adab Sebagai Pelajar Muslim
c)       Islam Itu Mudah
d)      Ibadah Dalam Islam
e)      Solat Tiang Agama

8.       Muhasabah
Slot muhasabah dijalankan pada hari kedua iaitu malam terakhir fasilitator bersama semua peserta program. Dalam slot ini, Sdr. Ahmad Hafiz cuba memberikan satu celik iman dalam diri setiap peserta untuk menjadi seorang ‘hamba Allah’ yang taat. Cuba menilai diri dan membuat koreksi amalan. 

Lampiran Gambar


 

No comments:

Post a Comment